Jika arwah sudah zakatkan hartanya pada tahun 2023, adakah waris yang terima pembahagian harta pusaka (faraid) pada tahun 2023 itu perlu zakatkan lagi harta yang setiap waris terima?
Berdasarkan fatwa Sistem Pengurusan Kutipan Zakat Negeri Selangor tahun 2017 menyatakan: “Harta yang diperolehi oleh seseorang bukannya hasil daripada pekerjaan yang dilakukannya . Ia merupakan pemberian yang diterima samada daripada individu atau institusi dalam tahun semasa.” Contohnya adalah Harta Pusaka.
Walau bagaimanapun, kewajipan zakat tertakluk sekiranya harta pusaka yang diterima adalah dalam bentuk mal zakawi (harta yang diwajibkan zakat) seperti wang tunai, emas dan seumpamanya. Manakala harta pusaka yang diterima dalam bentuk mal bukan zakawi seperti tanah, rumah, kenderaan dan seumpamanya, maka tidak diwajibkan zakat.
Oleh itu, walaupun arwah telah menunaikan zakat hartanya pada tahun 2023, namun apabila harta tersebut berpindah tangan kepada waris, ia dianggap sebagai harta pendapatan pemberian atau sumbangan, maka waris-waris wajib menunaikan zakat ke atas harta pusaka tersebut.
Rujukan : Isu 4, Kompilasi Rekod Persoalan Syariah LZS Mac 2023-Jun 2023, Diluluskan oleh Mesyuarat Jawatankuasa Penasihat Syariah LZS